
MARUDI: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi dari Skuad Bravo berjaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas bangunan GD Laundry 24 Jam di Jalan Kapitan Ling Ching Kiat, di sini, petang ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik haiwan berkenaan, yang memohon bantuan untuk menurunkan kucing peliharaannya.
“Sejurus menerima panggilan, Skuad Bravo digerakkan ke lokasi yang terletak sekitar tiga kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi,” katanya.
Operasi menyelamat diketuai oleh Pbt (PA) Muhd Faizul Zainal bersama tiga anggota lain, dan kucing berkenaan berjaya diselamatkan dalam tempoh singkat.
Haiwan itu kemudian diserahkan semula kepada pemiliknya sebelum pasukan kembali ke pangkalan operasi.
Oleh Jiku Juguong