
SIMANGGANG: Seramai 17 peserta terdiri daripada kakitangan Felcra Venture Sdn Bhd, Sri Aman menyertai Latihan Asas Keselamatan Kebakaran yang berlangsung selama tiga hari di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, semalam.
Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, program tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerja dalam menghadapi sebarang kecemasan di tempat kerja.
Sepanjang latihan itu, para peserta didedahkan dengan pembelajaran secara teori di bilik kuliah Aras 1 balai berkenaan sebelum diteruskan dengan latihan praktikal yang lebih menyeluruh.

Antara modul utama yang diketengahkan termasuk pencegahan kebakaran, langkah awal menangani insiden kecemasan serta tindakan sewajarnya ketika berlaku kebakaran di kawasan tertutup.
Peserta turut diberi pendedahan mengenai cara bergerak secara kendiri atau berkumpulan ketika berada dalam persekitaran gelap, berasap dan sempit, yang sering menjadi cabaran utama dalam situasi kecemasan sebenar.

Selain itu, latihan berkenaan turut merangkumi teknik penggunaan alat pemadam api serta pengendalian nozel dengan kaedah yang betul bagi memadam kebakaran secara berkesan dan selamat.
BBP Sri Aman dalam pada itu merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama semua peserta sepanjang kursus berlangsung, selain berharap ilmu yang disampaikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya di tempat kerja masing-masing.

Majlis penangguhan kursus tersebut disempurnakan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Andrew Vengitasamy.
Oleh Adi Safarman