
KUCHING: Dua murid Sekolah Kebangsaan Dato Mohd Musa (SKDMM) mengharumkan nama Sarawak di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih Anugerah Perak dalam International Creativity & Innovation Award (ICIA) 2026.
Pertandingan tersebut berlangsung di Universitas Katolik Widya Mandala Surabaya, Indonesia dari 24 hingga 26 April.
Aisy Fayyadh Zulyhie dan Faiha Aina Azzalfa Norazizul, masing-masing berusia 10 tahun mewakili pasukan Edu Monster SKDMM tampil dengan inovasi permainan pendidikan interaktif bertajuk “Measure Monster 2.0”, sekali gus mencuri perhatian juri dalam saingan melibatkan 40 pasukan dari lapan negara.
Inovasi tersebut merupakan kesinambungan daripada projek terdahulu yang ditambah baik, dengan fokus membantu murid Tahun 3 memahami konsep pengukuran Matematik secara lebih mudah dan menyeronokkan.
Melalui pendekatan berasaskan permainan, konsep yang sukar diterjemahkan dalam bentuk interaktif agar lebih dekat dengan pemahaman murid.
Lebih signifikan, aplikasi tersebut dibangunkan dalam bentuk APK Android yang membolehkan ia diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sekali gus menyokong pembelajaran fleksibel selari dengan keperluan pendidikan digital masa kini.

Di bawah bimbingan guru mereka, Hazilah Rashid serta Izzah Iwani Najwa Issnu, kejayaan tersebut bukan sahaja menghadiahkan Anugerah Perak, malah meletakkan pasukan ini dalam Top 10 Challenge 2: SEAMEO Secretariat.
Pertandingan ICIA 2026 menyaksikan penyertaan dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Kemboja, Sri Lanka, Timor Leste, India dan Filipina, menjadikan pencapaian murid SKDMM ini satu kebanggaan buat Sarawak.
Kejayaan tersebut turut disokong oleh penajaan Press Metal, Yayasan Sarawak dan Fortune Creative yang membantu merealisasikan penyertaan ke peringkat antarabangsa.
Turut hadir memberi sokongan ialah Guru Besar SK Dato Mohd Musa, Issnu Dollah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Halimah Ibrahim.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa murid sekolah rendah dari Sarawak bukan sahaja mampu bersaing, malah berupaya mencipta nama di peringkat global melalui inovasi pendidikan yang kreatif dan berimpak.
Oleh Masrin Affirah