
LAWAS: Projek pembinaan jalan raya dari Kampung Murud Suang ke Long Sebulu dan persimpangan Long Pos bernilai RM125 juta dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar di kawasan Ulu Trusan.
Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata projek yang bermula pada Disember tahun lalu itu dijangka siap pada Jun 2028.
Menurut beliau, projek berkenaan akan meningkatkan jaringan perhubungan darat antara Kampung Murud Suang, Long Sebulu serta persimpangan ke Long Pos.
“Jalan ini merupakan usaha kerajaan untuk menambah baik pilihan perhubungan di kawasan Ulu Trusan yang ketika ini hanya bergantung kepada satu laluan utama di simpang Pekan Trusan,” katanya.
Beliau berkata, kos projek meliputi kerja pembinaan, reka bentuk serta bayaran pampasan tanah, yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Tambahnya, skop pembinaan melibatkan jalan berturap sepanjang 8.82 kilometer (km), selain pembinaan jalan spur sepanjang 1.11 km.
“Projek ini turut melibatkan pembinaan dua jambatan yang merentasi Sungai Sebulu dan Sungai Trusan, selain infrastruktur lain seperti parit tepi jalan dan struktur pembentung,” katanya.
Pada masa sama, Rubiah menegaskan pembangunan luar bandar perlu dipercepatkan bagi memastikan peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan jalan berkenaan di sini, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Oleh Adeng Edrus