
BINTULU: Pembangunan Sarawak perlu dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar, tegas Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi.
“Kita mahu pembangunan yang maju dan ekonomi yang berkembang, tetapi dalam masa yang sama alam sekitar mesti terus dipelihara,” katanya ketika merasmikan Program World Earth Day 2026 di Dewan Kampung Nyalau, hari ini.
Menurutnya, kemajuan yang dirancang kerajaan bukan sekadar tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi akan datang.

“Kita mahu pembangunan yang seimbang, yang menjaga kesejahteraan rakyat dan pada masa sama memelihara alam sekitar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tanggungjawab menjaga alam sekitar memerlukan penglibatan semua pihak termasuk komuniti setempat.
“Kerajaan boleh sediakan dasar, agensi boleh laksanakan program, industri boleh beri sokongan, tetapi komuniti adalah pihak paling penting,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pemeliharaan ekosistem marin, khususnya di kawasan pesisir seperti Nyalau yang bergantung kepada sumber perikanan.
“Kalau ekosistem laut rosak, hasil tangkapan nelayan akan terjejas dan memberi kesan kepada kehidupan komuniti,” katanya.
Mengulas isu tempatan, beliau memaklumkan terdapat aduan daripada komuniti Kampung Kuala Nyalau berhubung pencerobohan aktiviti pukat tunda yang menjejaskan hasil tangkapan serta merosakkan ekosistem marin.
Sehubungan itu, langkah pemulihan akan dilaksanakan melalui pemasangan tukun tiruan jenis Reef Ball.
Beliau menambah bahawa sebanyak 76 unit Reef Ball akan dilabuhkan di perairan Kuala Nyalau sebagai usaha membantu memulihkan habitat marin.
Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Samalaju dan Pelabuhan Perindustrian Samalaju melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebelum ini, sebanyak 3,840 unit Reef Ball telah ditempatkan di perairan Bintulu, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan marin di negeri ini.
“Ini menunjukkan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi boleh berjalan seiring jika dirancang dengan baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru masyarakat agar menjaga kebersihan pantai, mengelakkan aktiviti yang merosakkan alam sekitar serta mendidik anak-anak supaya menghargai alam sejak kecil.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembentukan kesedaran sejak awal mampu melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Program World Earth Day 2026 itu diharap menjadi platform memperkukuh kerjasama antara kerajaan, agensi, industri dan komuniti dalam usaha memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh Faizah Muzidi