

MIRI: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang di kebun berhampiran Petronas ByPass di Miri sejak Khamis lalu masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah masuk hari ketiga.
Mangsa berumur 73 tahun, keluar ke kebun namun tidak pulang ke rumah sebelum laporan diterima pada 9.30 malam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR hari ketiga yang dijalankan hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta orang awam.
“Operasi SAR dimulakan pada 9.00 pagi dengan pencarian tertumpu di sektor A dalam radius tiga kilometer persegi bersama anggota APM.
“Pada sebelah petang, pencarian disambung di sektor B dalam radius sama melibatkan ATM dan APM, iaitu di lokasi penemuan kain dipercayai milik mangsa pada 25 April lalu, namun tiada tanda-tanda mangsa ditemui,” menurut kenyataan itu.
PGO memaklumkan, operasi hari ini ditangguhkan pada 8.00 malam dan akan disambung semula esok.
Terdahulu, pencarian turut meliputi kawasan seluas lebih 57 ekar di sektor A dan kira-kira 39 ekar di sektor B menggunakan kaedah menyisir darat.
Oleh Liong Chai Ling