
SIBU: Tahap kesedaran pendermaan organ di Malaysia masih rendah walaupun permintaan terhadap pemindahan organ terus meningkat dengan ketara.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng berkata, pendermaan organ merupakan amalan mulia yang dianggap sebagai ‘hadiah kehidupan’ kerana mampu memberi harapan baharu, menyembuhkan penderitaan serta menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
“Namun, realitinya kesedaran dan penyertaan masyarakat masih belum mencapai tahap yang diharapkan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Sulitnya, Stanley Chiew pada program Larian Amal Derma Organ 2.0 di Taman Tasik Permai, hari ini.

Menurutnya, setakat Mac tahun ini, seramai 10,268 pesakit sedang menunggu pemindahan organ di Malaysia.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 10,227 pesakit menunggu pemindahan buah pinggang, diikuti jantung (17 kes), hati (13 kes), jantung dan paru-paru (8 kes) serta paru-paru (3 kes).
Beliau berkata, sejak 1976 hingga kini, seramai 424,333 individu telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ, namun jumlah penderma kadaverik sebenar hanya 1,095 penderma.
“Statistik ini menunjukkan jurang yang sangat besar antara bilangan pengikrar dan penderma sebenar, sedangkan satu pendermaan organ mampu menyelamatkan banyak nyawa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat perlu dipergiatkan melalui program pendidikan dan kempen berterusan.
Pada masa sama, Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang turut memuji penganjuran program fun run yang disifatkan sebagai platform berkesan dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan pendermaan organ serta gaya hidup sihat.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi inspirasi, malah menyatukan masyarakat dalam semangat keprihatinan dan kasih sayang,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak program kesedaran seumpama itu dianjurkan pada masa hadapan, selain menggalakkan lebih ramai masyarakat tampil membuat keputusan menjadi penderma organ.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Nizam Ishak, Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Sibu Dr Terence Siew Kung Yung dan pengerusi penganjur Dr Kenny Tiew.
Oleh Akun Giman