
BINTANGOR: Pemeriksaan berkala pili bomba telah dijalankan bagi memastikan kemudahan bekalan air sentiasa berfungsi dengan baik ketika kecemasan kebakaran, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin.
Katanya, pemeriksaan melibatkan empat anggota bomba dari 8.45 pagi hingga 10.50 pagi di tiga kawasan.
“Pemeriksaan pili bomba secara berkala dilaksanakan bagi memastikan setiap unit berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna supaya dapat digunakan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan kebakaran.
“Pemeriksaan tersebut melibatkan lima unit pili bomba di Jalan Dayang Seniah, sembilan unit di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor dan dua unit di Jalan Paris Height,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 16 unit pili bomba yang diperiksa berada dalam keadaan baik.
“Pemeriksaan berjadual ini merupakan sebahagian daripada prosedur standard Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi memastikan tahap kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap optimum.
“Langkah ini penting bagi memastikan pasukan bomba mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi dan berfungsi dengan baik ketika operasi pemadaman kebakaran dijalankan.
“Pihak kami akan terus melaksanakan pemeriksaan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemudahan keselamatan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan,” katanya.
Oleh Earl Anek