
SIBU: Perpaduan berteraskan semangat semangat segulai sejalai perlu terus diperkukuh bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata semangat itu mencerminkan jati diri sebenar Sarawak yang sentiasa mengutamakan keharmonian antara kaum, budaya dan agama.
“Walaupun kita berbilang bangsa dan latar belakang, rakyat Sarawak sentiasa hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan bekerjasama. Nilai ini perlu terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-16 Persatuan Tuai Rumah Sibu (PTRS) di sini, malam tadi.
Wong yang juga Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Bawang Assan berkata, peranan tuai rumah amat penting kerana mereka bukan sahaja pemimpin komuniti, malah penjaga adat, pemelihara keharmonian serta penghubung antara rakyat dengan kerajaan.

Katanya, dalam suasana semasa yang semakin mencabar, tuai rumah perlu terus menyatukan masyarakat, menyelesaikan masalah secara bijaksana, membimbing generasi muda serta memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan.
“Kejayaan pembangunan hanya dapat dicapai menerusi kerjasama erat antara rakyat, wakil rakyat dan agensi kerajaan.
“Tuai rumah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan rakyat, memastikan projek dilaksanakan dengan baik, menyalurkan maklum balas serta menggerakkan sokongan masyarakat,” ujarnya.
Menyentuh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir, beliau berkata, ia merupakan detik penting dalam menentukan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta hala tuju masa depan Sarawak.
Beliau berkata, kejayaan negeri ketika ini dibina atas asas perpaduan dan kestabilan politik di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan perkara itu perlu terus dipertahankan.
“Sehubungan itu, saya menggesa tuai rumah agar memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab dalam memupuk perpaduan, memastikan maklumat tepat disampaikan kepada rakyat, mengelakkan perpecahan serta bekerjasama rapat dengan wakil rakyat tempatan.
“Ini bukan soal individu, tetapi soal menjamin masa depan Sarawak untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir, penasihat PTRS, Temenggong Stanley Geramong, Pengerusi PTRS, Tuai Rumah (Tr) Dieo Kanyan, pengerusi penganjur, Tr Peter Tinggom Santap, Kaunselor Sean Wong serta yang lain.
Oleh Akun Giman