
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak menahan lapan warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan dikenali Ops Selera di sekitar Jalan Satok, di sini awal pagi tadi.
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam operasi berkenaan, tiga premis di kawasan itu telah diperiksa bagi mengesan warga asing yang disyaki bekerja tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di sebuah premis kedai makan, pihak penguat kuasa berjaya menahan individu berkenaan, selepas didapati gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
“Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke pejabat Imigresen untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya menambah operasi itu melibatkan 24 pegawai Imigresen.
Menurut kenyataan itu jabatan berkenaan, akan terus pergiat operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang kehadiran pendatang tanpa izin di negeri ini dan orang ramai turut digalakkan menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu langkah penguatkuasaan. – Bernama