
LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan pasukannya belum mengibarkan bendera putih dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris meskipun terlepas kedudukan teratas kepada Manchester City.
Arsenal dipintas City selepas kemenangan 1-0 skuad kendalian Pep Guardiola ke atas Burnley pada Rabu.
Kini kedua-dua pasukan berkongsi mata, namun City mendahului menerusi jumlah jaringan.
The Gunners berpeluang kembali ke puncak jika mengelak kekalahan menentang Newcastle United di Stadium Emirates, awal pagi esok.
Kurang dua minggu lalu, Arsenal dilihat calon utama menjulang kejuaraan pertama sejak 2004 selepas memiliki kelebihan sembilan mata.
Namun kekalahan kepada Bournemouth dan City menjejaskan peluang mereka.
Sejarah juga menghantui kelab London utara itu selepas pernah melepaskan kelebihan besar dalam perebutan gelaran musim 2023 dan 2024.
Namun Arteta kekal optimis: “Menang esok, itu langkah pertama. Kami masih percaya sepenuhnya kepada pemain dan sasaran kami,” katanya.
Arsenal turut menerima berita baik apabila pemain sayap Bukayo Saka dan pertahanan Riccardo Calafiori dijangka kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.
City kini berada di kemuncak prestasi, manakala Arsenal hanya mencatat satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir.
Dengan lima perlawanan berbaki, Arteta menegaskan segalanya masih terbuka: “Letakkan segalanya di atas meja dan jadikan ia kenyataan.” – AFP