
KUALA LUMPUR: Petra Energy Bhd (PEB), melalui anak syarikat milik penuhnya, Petra Energy Development Sdn Bhd (PEDSB), meraih kontrak perkhidmatan pengurusan operasi medan daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd bagi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) SK407 di Miri.
Kontrak itu melibatkan penyediaan perkhidmatan pengurusan operasi medan untuk lima medan luar pesisir iaitu West Lutong, Baram, Tukau, Siwa dan Fairly Baram.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PEB menyatakan PEDSB menerima Surat Lantikan (LoA) yang berkaitan dengan kontrak itu daripada Vestigo Petroleum pada 27 Mac, 2026.
“Tiada nilai kontrak yang dinyatakan dalam LoA tersebut. Tempoh kontrak adalah selama dua tahun, bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028,” menurut syarikat itu.
PEB memaklumkan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham para pemegang saham utamanya serta dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak berkenaan.
“Faktor-faktor risiko yang boleh menjejaskan kontrak itu adalah risiko operasi dan pelaksanaan, yang mana PEDSB akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghapuskan atau meminimumkan risiko berkenaan. “Tiada mana-mana pengarah dan pemegang saham utama PEB dan/atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan,” jelas syarikat itu sambil menambah kontrak berkenaan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan. – Bernama