
KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) melahirkan rasa kecewa dan kebimbangan serius terhadap tindakan sebuah institusi perbankan yang didakwa enggan memberikan kerjasama dalam kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM23,500.
Kes berkenaan melibatkan seorang mangsa yang diperdaya melalui tawaran palsu ‘tender kerajaan’ sebelum membuat pemindahan wang ke akaun sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tersebut.
Mangsa dipercayai yakin dengan urusan berkenaan selepas individu terlibat memiliki maklumat peribadi miliknya, sekali gus menimbulkan kepercayaan bahawa tawaran itu adalah sah.
Menurut PPS, mangsa telah segera mengambil tindakan dengan membuat laporan polis, menghubungi talian 997 di bawah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) serta memaklumkan perkara itu kepada pihak bank bagi tindakan lanjut.
Namun, pihak bank didakwa enggan memberikan maklumat asas penting termasuk status wang yang dipindahkan sama ada masih berada dalam akaun berkenaan atau telah dipindahkan, selain status akaun tersebut dengan alasan kerahsiaan pelanggan.
Presiden PPS, Dr. Wynson Ong Teck Ping menegaskan bahawa pihaknya tidak memohon maklumat sulit pelanggan, sebaliknya hanya mendapatkan pengesahan status transaksi bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Alasan privasi tidak seharusnya menjadi penghalang dalam usaha membendung jenayah kewangan yang jelas melibatkan kepentingan awam,” katanya.
Menurutnya, walaupun institusi perbankan terikat dengan prinsip kerahsiaan pelanggan, mereka turut memikul tanggungjawab memastikan sistem kewangan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, kelewatan atau keengganan bertindak dalam situasi kritikal boleh menyebabkan mangsa terus mengalami kerugian tanpa perlindungan sewajarnya.
Dalam pada itu, PPS telah campur tangan secara rasmi dalam kes berkenaan dan akan terus membantu mangsa bagi mendapatkan keadilan serta tindakan susulan.
PPS turut menggesa semua institusi perbankan agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam kes penipuan, termasuk bertindak pantas mengesan dan membekukan akaun mencurigakan serta meningkatkan ketelusan dalam pengendalian kes.
“Kes penipuan dalam talian kini bukan lagi isu terpencil, sebaliknya ancaman serius kepada keselamatan kewangan masyarakat,” tegasnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada sebelum membuat sebarang pembayaran, khususnya melibatkan tawaran tender atau urusan rasmi, serta memastikan kesahihan sesuatu urusan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu.
PPS memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan lanjut demi melindungi hak pengguna.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian 017-710 9299.