
MIRI: Dua remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo, kawasan Suai, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut sejurus kejadian.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang, Isnin, manakala pemboncengnya meninggal dunia pada 5.44 petang hari sama ketika menerima rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Mohd Faizul Ab Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling