
BEKENU: Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim kemarau bagi mengelakkan risiko kebakaran yang sukar dikawal.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Rosey Yunus berkata, keadaan cuaca kering menyebabkan sumber air seperti telaga dan parit turut mengering, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman sekiranya berlaku kebakaran.
Menurut beliau, situasi tersebut bukan sahaja membahayakan keselamatan, malah boleh mendatangkan kerugian kepada individu sendiri serta komuniti setempat.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Jangan lakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh merebak dengan cepat dalam keadaan cuaca panas dan kering,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menggesa orang ramai supaya menyimpan stok air sebagai langkah persediaan serta mengamalkan penggunaan air secara berjimat cermat sepanjang tempoh kemarau.

Nasihat tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat agar sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan bersama.
Sementara itu, tinjauan Utusan Sarawak di Jambatan Sibuti 2 di sini mendapati aliran trafik bergerak perlahan berikutan kebakaran belukar yang berlaku di kawasan Tiris dan Kampung Kelapa, di sepanjang Jalan Persisiran Pantai Niah–Bekenu, petang ini.
Oleh Adum Liu