
SIBU: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri bagi memastikan pelajar mendapat peluang pekerjaan sebenar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK): Talent Bridge 2030 tidak boleh sekadar berkongsi maklumat, sebaliknya mesti membuka laluan kerjaya kepada pelajar.
“Pelajar kita memerlukan laluan, bukan sekadar kemungkinan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program SPEAK di sini hari ini.
Menurut beliau, institusi pendidikan dan pihak industri perlu menyediakan lebih banyak peluang penempatan serta jelas tentang jumlah pengambilan pekerja.
Sagah berkata, pendekatan baharu seperti pameran kerjaya dan jelajah kini turut melibatkan temu duga secara terus, sekali gus membolehkan pelajar mendapat pekerjaan dengan segera.
“Ada pelajar yang terus mendapat kerja melalui program ini,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan akan terus memperluas program seumpama itu bagi memastikan penglibatan industri benar-benar memberi manfaat kepada pelajar.
Dalam pada itu, katanya, kebolehpasaran graduan bergantung kepada kemahiran, bukan hanya akademik semata-mata.
“Untuk dapat gaji baik, pelajar perlu ada kemahiran praktikal selain kelulusan akademik,” ujarnya.
Sagah turut menegaskan kepentingan perancangan kerjaya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, beberapa kawasan masih kekurangan tenaga mahir seperti kejuruteraan marin dan kimpalan di Sibu, kemahiran digital di Mukah, agroteknologi di Sarikei serta bidang infrastruktur di Kapit.
Sehubungan itu, beliau menggesa kaunselor sekolah lebih proaktif mendapatkan tempat latihan atau pekerjaan untuk pelajar.
“Saya mahu kaunselor pastikan ada tempat untuk pelajar, jangan pulang dengan tangan kosong,” tegasnya.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan kaunselor supaya berhati-hati terhadap tawaran pendidikan yang tidak sah bagi melindungi pelajar.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan II (Pembangunan Bakat) Datuk Francis Harden Hollis serta beberapa pegawai kanan lain.
Oleh Tarani Lanting