
KUCHING: Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi bersama pegawai kanan dan anggota telah mengadakan lawatan penuh penghormatan ke kediaman pesara polis, Sub Inspektor (SI) Mohamad, seorang wira negara yang dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani atas keberanian luar biasa dalam menjalankan tugas.
Menurut Mohd Irwan Hafiz, lawatan tersebut bukan sekadar kunjungan biasa tetapi merupakan simbol penghargaan tinggi daripada Polis Diraja Malaysia terhadap jasa, pengorbanan serta semangat juang yang telah dipamerkan sepanjang perkhidmatan beliau.
“Keberanian yang ditunjukkan oleh SI Mohamad kekal menjadi inspirasi dan teladan kepada seluruh warga pasukan,” katanya.
Dalam suasana mesra dan penuh hormat, pihak KPD Padawan turut menyampaikan sumbangan kebajikan serta bertanya khabar mengenai tahap kesihatan beliau.
Tambah beliau, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memastikan kebajikan pesara sentiasa terbela di samping mengekalkan hubungan erat antara generasi lama dan baharu dalam pasukan.
“Pengorbanan dan keberanian tokoh seperti beliau menjadi lambang keutuhan pasukan serta membuktikan bahawa jasa anggota PDRM tidak pernah dilupakan,” katanya.