
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyokong supaya Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas disegerakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh rangka kerja perundangan berkaitan hak, kemudahan dan perkhidmatan untuk golongan itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 jelas menunjukkan tindakan, dan intervensi berkaitan warga emas tidak boleh ditangguhkan, sebaliknya perlu diperkasakan menerusi pendekatan lebih menyeluruh melibatkan seluruh kerajaan.
Beliau berkata RUU itu penting bagi melengkapkan dasar dan pelan tindakan sedia ada, termasuk Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 dan Pelan Tindakan Demensia Negara 2023-2030, selain memastikan perlindungan lebih kukuh kepada warga emas.
“RUU Warga Emas ini perlu disegerakan, yang akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja perundangan untuk hak mereka, termasuk kemudahan dan perkhidmatan, semua itu terkandung dalam RUU itu dan amat mustahak,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dapatan Tinjauan NHMS 2025: Kesihatan Warga Emas, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata intervensi terhadap warga emas tidak boleh hanya bermula ketika mereka sudah mencecah usia 60-an, sebaliknya perlu dilaksanakan lebih awal, iaitu seawal umur 50 tahun.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan aspek penyakit tidak berjangkit (NCD), keupayaan kognitif, frailty, risiko jatuh dan sarkopenia dapat dikenal pasti serta ditangani lebih awal sebelum menjadi lebih serius.
“Kalau kita mula lambat, kita akan sentiasa cuba mengejar keadaan, dan akhirnya terus berada dalam krisis,” katanya.
Beliau berkata KKM menyokong penuh pendekatan menyeluruh kerajaan bagi mempercepat RUU itu, memandangkan isu penuaan penduduk bukan sahaja melibatkan kesihatan, tetapi turut menyentuh aspek kebajikan, sokongan komuniti dan kesiapsiagaan negara secara keseluruhan.
Pada Jun 2025, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata kerajaan telah menyiapkan draf RUU Warga Emas, yang bertujuan melindungi hak dan kesejahteraan golongan itu dan menjangkakan RUU itu dibentangkan di Parlimen pada 2026.
Undang-undang baharu itu akan memberikan perlindungan perundangan yang lebih menyeluruh, terutamanya dalam menangani isu pengabaian, penderaan dan eksploitasi terhadap warga emas. – Bernama