
SARIKEI: Hospital Sarikei terus memperluas perkhidmatan pakar sebagai usaha meningkatkan akses rawatan berkualiti kepada masyarakat setempat sepanjang dua dekad penubuhannya, kata Pengarah Hospital Sarikei, Dr Mohamad Ng Siah Huat.
Katanya, kini hospital tersebut telah melalui pelbagai transformasi.
“Sepanjang dua dekad ini, hospital kita telah melalui pelbagai transformasi iaitu daripada sebuah fasiliti kecil, kini berkembang menjadi institusi kesihatan yang dipercayai oleh komuniti setempat.
“Kejayaan ini bukan milik individu, tetapi hasil titik peluh setiap warga kerja daripada doktor, jururawat, hinggalah ke kakitangan sokongan,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Ulang Tahun ke-20 Hospital Sarikei di Klinik Pakar Hospital Sarikei, hari ini.

Katanya, Hospital Sarikei kini menyediakan sebanyak 12 perkhidmatan pakar merangkumi perubatan am, pembedahan am, ortopedik, kecemasan dan trauma, anestesia, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, radiologi, psikiatri dan kesihatan mental, oftalmologi, pembedahan mulut dan maksilofasial serta otorinolaringologi.
“Ulang tahun ke-20 ini bukan sekadar perayaan angka, tetapi bukti dedikasi pasukan kami dalam menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan terus melangkah ke hadapan, kami komited untuk memperkasakan perkhidmatan digital dan rawatan khusus demi memenuhi keperluan kesihatan masa depan yang semakin mencabar.
“Pada sambutan kali ini juga kami turut menyampaikan sijil penghargaan khas kepada 47 orang kakitangan yang telah berkhidmat selama 20 tahun sejak hospital ini mula beroperasi,” katanya.
Tambahnya, sambutan ulang tahun tersebut turut diadakan serentak dengan Hari Bersama Pelanggan bagi memperkenalkan pelbagai perkhidmatan hospital kepada masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti kesihatan dan pameran.
“Objektif utama sambutan ini adalah untuk menguar-uarkan perkhidmatan yang disediakan di Hospital Sarikei kepada orang ramai.
“Disamping itu pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya ialah gerai pameran sejarah hospital, pameran perkhidmatan, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata, pemeriksaan gigi, derma darah, permainan interaktif dan banyak lagi.
“Harapan saya, sambutan ini menjadi titik tolak untuk kita meningkatkan lagi kualiti rawatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Oleh Earl Anek