
SARIKEI: Projek pembinaan semula Rumah Lingga Ujang di Selangan yang melibatkan 73 pintu kini hampir siap sepenuhnya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata projek itu berjaya dilaksanakan selepas memperoleh kelulusan Skim Pinjaman Rumah Panjang melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.19 juta.
Katanya, setiap pintu menerima pinjaman sebanyak RM30,000 bagi membolehkan projek pembinaan semula rumah panjang tersebut dilaksanakan dengan lebih terancang dan selesa untuk penduduk.
“Rumah Lingga Ujang merupakan antara rumah panjang terpanjang di kawasan Sarikei dan projek pembinaan semula tersebut dijangka memberi perubahan besar kepada kualiti kehidupan komuniti setempat.
“Dengan siapnya projek ini nanti, rumah panjang tersebut akan tampil lebih moden, selesa dan menarik,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek HDC di Rumah Lingga Ujang, baru-baru ini.
Dalam lawatan sama, beliau turut menyampaikan projek pintu kepada penduduk rumah panjang sebagai sebahagian usaha memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh komuniti rumah panjang.
Selain projek pembinaan semula kediaman, sebuah jalan berturap sepanjang 300 meter dengan lebar enam meter turut siap dibina di hadapan rumah panjang berkenaan menerusi projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk.
Beliau turut menggalakkan penduduk yang masih menetap di rumah panjang lama supaya memanfaatkan Skim Pinjaman Rumah Panjang melalui HDC bagi tujuan pembinaan semula kediaman mereka.
“Saya akan terus membantu dan menyokong proses permohonan serta berusaha mendapatkan kelulusan pinjaman melalui HDC demi meningkatkan taraf hidup penduduk rumah panjang.
“Pembinaan rumah panjang baharu adalah lebih praktikal berbanding penyelenggaraan berulang terhadap struktur lama yang tidak lagi ekonomik dalam jangka masa panjang.
“Rumah panjang lama walaupun dibaik pulih berkali-kali tetap tidak dapat bertahan lama dan memerlukan penyelenggaraan setiap tahun,” katanya lagi.
Tambahnya, pembinaan rumah baharu adalah lebih tahan lama dan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan.
“Usaha kerajaan melalui HDC merupakan antara inisiatif penting bagi memastikan rakyat luar bandar menikmati tempat tinggal yang lebih selamat, selesa dan berkualiti selaras agenda pembangunan seimbang di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Lingga Ujang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan beliau dalam membawa pembangunan pesat di kawasan Sarikei dan Meradong.
Lingga turut menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Sri Huang Tiong Sii atas usaha berterusan membantu mendapatkan kelulusan pinjaman HDC sehingga projek pembinaan semula rumah panjang tersebut berjaya direalisasikan sekali gus meningkatkan taraf kehidupan penduduk setempat.
Oleh Earl Anek