
BINTANGOR: Pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan Sarawak terus disampaikan kepada rakyat menerusi siri kunjungan program pra Hari Gawai 2026 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program tahunan tersebut turut berperanan sebagai saluran penting untuk berkongsi maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan Sarawak kepada masyarakat rumah panjang.
“Tradisi turun padang akan terus dikekalkan kerana ia merupakan asas kepada perkhidmatan sebagai seorang wakil rakyat.

“Pendekatan turun padang membolehkan wakil rakyat mendengar sendiri keperluan serta permasalahan masyarakat setempat sekali gus memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya ketika ditemui media semasa kunjungan hari keempat ke beberapa buah rumah panjang di kawasan DUN Meradong, baru-baru ini.
Koung Hiing turut memaklumkan rakyat Sarawak telah menerima khabar gembira apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan peningkatan bantuan di bawah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Antara bantuan yang diumumkan termasuk RM1,100 kepada isi rumah berkeluarga, RM600 kepada warga emas dan RM375 kepada golongan bujang.
“Selain itu, kerajaan Sarawak turut memperkenalkan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus bermula April hingga Disember 2026 sebagai langkah membantu rakyat mengurus perbelanjaan utiliti bulanan.
“Tidak ketinggalan, turut diumumkan ialah diskaun sewaan premis sebanyak 50 peratus bagi premis milik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dijangka memberi kelegaan kepada peniaga dan usahawan tempatan dalam meneruskan operasi perniagaan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Buong Ong; Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Pengerusi Persatuan Tuai-tuai Rumah Meradong, Tuai Rumah Kichu Ajan; Kapitan Wong Mee King dan Kapitan Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek