
KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong belum berhasrat bersara daripada sukan terjun dalam masa terdekat kerana mahu terus berbakti kepada negara.
Anak jati Sarawak itu berkata tumpuan beliau kini ialah melayakkan diri ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang dijadualkan dari 19 September hingga 4 Oktober.
“Belum lagi, sekarang saya fikir untuk terjun lagi. Sasaran saya layak ke Sukan Asia,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Ujian Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini.
Berhubung prestasi pada kejohanan itu, Pandelela bersyukur dengan markah yang diperoleh selain dirinya dapat mengawal kecederaan yang membelenggunya dengan baik.
“Terjunan pertama paling sukar dan mencabar bagi saya, namun saya bersyukur dengan keseluruhan persembahan hari ini kerana berjaya melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS),” katanya.
Terdahulu, Pandelela menepati ramalan apabila memenangi kategori 10 meter (m) platform individu wanita dengan markah keseluruhan 292.05 selepas lima terjunan sekali gus melepasi MQS ditetapkan Akuatik Malaysia (MAS).
Tempat kedua dan ketiga kategori itu dimenangi penerjun negara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar (283.15) dan Lee Yiat Qin (266.8). – Bernama