Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kempen 6020 diperkasa, sasar warga emas kekal 20 gigi menjelang 2030
  • KESIHATAN

Kempen 6020 diperkasa, sasar warga emas kekal 20 gigi menjelang 2030

Utusan Sarawak 5 hours ago
 RASMI… Kapitan Aries Leong Chin Lim mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Datuk Sebastian Ting merasmikan Kempen 6020 dan sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia Peringkat Sarawak 2026 di Miri hari ini.

MIRI: Usaha memperkasa kesihatan mulut dalam kalangan rakyat, khususnya warga emas, terus dipergiat menerusi peluncuran Kempen 6020 yang menyasarkan lebih 50 peratus individu berusia 60 tahun ke atas memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli yang masih berfungsi menjelang 2030. 

Majlis Pelancaran Kempen 6020 dan sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia Peringkat Sarawak 2026 itu telah disempurnakan oleh Kapitan Aries Leong Chin Lim yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew di sini  hari ini. 

Dalam ucapan perasmian beliau, kempen berkenaan merupakan inisiatif strategik Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022–2030, sejajar dengan peningkatan jangka hayat rakyat negara ini yang dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030. 

“Menjelang tahun 2030, dianggarkan 15.3 peratus penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas. Oleh itu, kempen ini penting bagi memastikan golongan warga emas terus menikmati kualiti hidup yang baik melalui kesihatan mulut yang optimum,” katanya. 

Beliau turut mendedahkan bahawa statistik 2025 menunjukkan hanya 11.6 peratus warga emas di Sarawak mendapatkan perkhidmatan pergigian kerajaan, manakala hanya 29.2 peratus mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi berfungsi. 

“Angka ini mencerminkan cabaran besar yang perlu ditangani bersama kerana kehilangan gigi bukan sahaja menjejaskan fungsi pemakanan, malah memberi kesan kepada kesihatan keseluruhan serta kesejahteraan emosi individu,” ujarnya. 

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri komited memperluaskan akses kepada perkhidmatan pergigian melalui pelbagai inisiatif termasuk perkhidmatan primer dan program jangkauan, khususnya bagi komuniti luar bandar yang berdepan kekangan geografi dan capaian. 

Ketika ini, Sarawak mempunyai 53 klinik pergigian, lapan klinik pergigian bergerak, 151 klinik pergigian sekolah serta 107 pasukan pergigian bergerak yang berperanan memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negeri. 

Sepanjang 2025, seramai 697,480 penduduk atau 27.7 peratus populasi negeri ini telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan kesihatan pergigian yang disediakan kerajaan. 

Dalam pada itu, sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia yang turut diraikan pada majlis berkenaan membawa tema ‘Mulut Bahagia, Hidup Sejahtera’, sekali gus menekankan kepentingan penjagaan kesihatan mulut sebagai asas kepada kesejahteraan hidup secara menyeluruh. 

Tambahnya, masalah kesihatan mulut seperti karies gigi, penyakit gusi dan kehilangan gigi boleh memberi kesan besar terhadap pemakanan, keyakinan diri serta kesihatan umum termasuk kaitannya dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan kardiovaskular. 

Sehubungan dengan itu, orang ramai disaran mengamalkan penjagaan kendiri secara konsisten termasuk memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida, menggunakan flos, mengamalkan pemakanan seimbang serta menjalani pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun. 

Beliau turut menggesa masyarakat di bahagian Miri agar memanfaatkan peluang mendapatkan saringan pergigian yang disediakan sempena program tersebut demi memastikan tahap kesihatan mulut sentiasa terpelihara. 

“Penjagaan kesihatan mulut yang baik bukan sahaja menjamin kesejahteraan fizikal, malah turut menyumbang kepada keseimbangan mental dan sosial seseorang. Ingatlah, mencegah itu lebih baik daripada merawat,” katanya. 

Majlis itu turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik serta pengamal pergigian dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mulut secara berterusan. 

Oleh Liong Chai Ling

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Dua dekad perkhidmatan Hospital Sarikei bukti komitmen kerajaan tingkat sistem kesihatan
Next: Hospital Sarikei sediakan 12 perkhidmatan pakar, tingkat akses rawatan rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.