Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Dua dekad perkhidmatan Hospital Sarikei bukti komitmen kerajaan tingkat sistem kesihatan
  • KESIHATAN

Dua dekad perkhidmatan Hospital Sarikei bukti komitmen kerajaan tingkat sistem kesihatan

Utusan Sarawak 4 hours ago
RASMI… Dato’ Sri Huang Tiong Sii merasmikan majlis sambutan Ulang Tahun ke-20 Hospital Sarikei, bertempat di Klinik Pakar Hospital Sarikei, hari ini. 

SARIKEI: Hospital Sarikei terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat sepanjang dua dekad perkhidmatannya kepada komuniti di kawasan Sarikei dan sekitarnya, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Katanya, dalam landskap pembangunan negara masa kini, sektor kesihatan bukan lagi dilihat sekadar sebagai penyedia perkhidmatan rawatan, sebaliknya menjadi tonggak penting dalam membina kesejahteraan rakyat dan menyokong kemampanan ekonomi negeri.

“Rakyat yang sihat adalah asas kepada produktiviti, kestabilan sosial dan kemajuan negeri.

“Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, penekanan terhadap nilai ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial menuntut kita untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira lokasi atau latar belakang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.

SUMBANGAN sebanyak RM30,000 diserahkan oleh Dato’ Sri Huang Tiong Sii kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sarikei, Kung Teck Li.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-20 Hospital Sarikei di Klinik Pakar Hospital Sarikei, hari ini. 

Tambahnya, sepanjang tempoh dua dekad penubuhannya, Hospital Sarikei telah melalui pelbagai transformasi termasuk peningkatan kemudahan fizikal, pengukuhan kepakaran serta penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Sepanjang dua dekad ini, pelbagai transformasi telah dilaksanakan seperti peningkatan kemudahan fizikal, pengukuhan kepakaran, hinggalah kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Ini mencerminkan keupayaan institusi awam untuk terus relevan, responsif dan berdaya saing dalam memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan atas komitmen dan pengorbanan mereka, khususnya ketika negara berdepan cabaran pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara.

DATO’ Sri Huang Tiong Sii meluangkan masa melawat gerai pameran.

“Kita juga tidak boleh melupakan jasa dan pengorbanan para petugas kesihatan, khususnya ketika negara berdepan dengan cabaran besar seperti pandemik.

“Mereka bukan sahaja menjalankan tugas, tetapi tampil sebagai barisan hadapan yang mempertahankan keselamatan dan nyawa rakyat, ia merupakan satu manifestasi kepimpinan melalui khidmat,” katanya lagi.

Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan memperkukuh infrastruktur kesihatan dan memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat di seluruh negeri.

“Pendekatan kerajaan yang progresif dan berpandangan jauh dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan, memperluas capaian perkhidmatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat jelas menunjukkan bahawa pembangunan tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi juga melalui kualiti hidup rakyatnya.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan, termasuk dalam aspek akses kepada kemudahan kesihatan.

“Ini adalah selaras dengan prinsip pembangunan inklusif dan seimbang yang menjadi teras kepada agenda pembangunan Sarawak,” katanya.

Beliau yakin Hospital Sarikei akan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin transformasi sektor kesihatan pada masa hadapan, termasuk dalam aspek pendigitalan perkhidmatan, peningkatan kepakaran serta pengukuhan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan. 

“Apa yang lebih penting, kita harus memastikan bahawa setiap usaha yang dilaksanakan sentiasa berpaksikan kepada rakyat kerana pada akhirnya, kejayaan sebenar sesebuah dasar adalah apabila ia dirasai manfaatnya oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Di majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Lembaga Pelawat Hospital Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan hospital. 

Turut hadir Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Pengarah Hospital Sarikei, Dr Mohamad Ng Siah Huat; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN ) Sarawak, Dr Khairul Rizzuan Roslan dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sarikei, Kung Teck Li.

Oleh Earl Anek

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Kempen derma darah di Bintulu 22 April ini
Next: Kempen 6020 diperkasa, sasar warga emas kekal 20 gigi menjelang 2030

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.