
KUCHING: Kerajaan mengakui kekangan kapasiti rumah warga emas milik kerajaan ketika ini, namun tetap menegaskan bahawa institusi keluarga perlu menjadi benteng utama dalam menjaga kebajikan golongan tersebut.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa terlibat di peringkat awal dalam menangani kes melibatkan warga emas terabai.
“Semasa kes tersebut dijumpai, JKM turut berada di lapangan untuk membantu menangani perkara ini.
“Jika kita ingin menempatkan mereka di rumah institusi kerajaan, memang pada masa ini kapasiti tidak mencukupi.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam hal kekeluargaan, kita memberi keutamaan kepada pengukuhan institusi keluarga kerana kita tidak mahu menggalakkan keluarga berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sahabat Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN): Pemimpin dan Rakan Strategik Prihatin di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program sokongan dan bantuan kewangan kepada warga emas yang memerlukan.
“Ada keluarga yang tidak dapat atau tidak mahu menjaga ibu bapa mereka atas sebab peribadi, termasuk masalah tersendiri yang dihadapi.
“Dalam keadaan seperti ini, kita turut mendapatkan bantuan daripada pihak swasta dan individu bagi membantu menampung keperluan tersebut,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak semua kes akan ditempatkan di institusi, sebaliknya hanya kes tertentu seperti melibatkan kesihatan atau ditinggalkan tanpa penjagaan akan dipertimbangkan.
“Kita tidak menerima semua kes ke institusi kerana tanggungjawab menjaga ibu bapa adalah tanggungjawab bersama dalam kalangan keluarga.
“Sekiranya melibatkan kes kesihatan atau keadaan serius, barulah kita akan mengambil mereka untuk ditempatkan di bawah jagaan,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan kini sedang memperhalusi cadangan penggubalan akta berkaitan warga emas bagi menangani isu tersebut secara lebih menyeluruh.
“Sebelum kita melindungi seseorang warga emas, kita akan mencari waris terlebih dahulu dan menggalakkan anak-anak untuk mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka,” ujarnya.
Terdahulu, warga emas dikenali sebagai Pak Mail yang dipercayai diabaikan keluarganya di Kampung Repek, Pasir Mas menjadi perhatian selepas kisahnya ditularkan oleh seorang aktivis media sosial, Abe Hae, sebelum diselamatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ditempatkan sementara.
Oleh Masrin Affirah