Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Integriti asas kepimpinan, benteng utama tolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa
  • Tengah
  • WILAYAH

Integriti asas kepimpinan, benteng utama tolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii merasmikan Program Jelajah Integriti Siri 45 Daerah Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

SARIKEI: Integriti merupakan asas kepimpinan dan faktor penting dalam memastikan pembangunan negeri berjalan secara telus serta berkesan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata ia sekali gus menjadi benteng utama menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masyarakat.

“Integriti bermula daripada diri kita sendiri. Perkara kecil yang kita abaikan hari ini boleh menjadi masalah besar pada masa hadapan.

“Sikap ‘tidak mengapa’ dan ‘semua orang buat’ jika dibiarkan, akan membentuk budaya yang salah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Program Jelajah Integriti Siri 45 Daerah Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, semalam. 

Tambahnya, program tersebut merupakan satu usaha berterusan dalam membentuk masyarakat yang berteraskan nilai integriti selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Integriti terserlah melalui tindakan berkata benar, menunaikan amanah dan melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan.

“Dalam masyarakat majmuk seperti Sarawak, integriti menjadi asas kepada kepercayaan, keharmonian dan perpaduan.

“Tanpa integriti, kepercayaan akan runtuh dan keharmonian akan terjejas,” katanya.

DATO‘ Sri Huang Tiong Sii menerima cenderamata daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya. 

Katanya, usaha memupuk nilai integriti perlu dilaksanakan secara menyeluruh bermula daripada individu, keluarga hingga ke peringkat masyarakat agar ia dapat diamalkan secara konsisten dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap program ini bukan sekadar didengar, tetapi mesejnya diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Jika kita ingin melihat Sarawak terus maju dan makmur, kita mesti membina masyarakat yang berintegriti tinggi,” katanya lagi. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya; Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman (UNIONS), Wan Mohamad Wan Drahman; Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin serta Pemangku Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Agropark Lubok Tamang pemangkin ekonomi baharu Saribas – Razi Sitam
Next: Kerja naik taraf jalan di Kemena bermula 23 April ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.