
BETONG: Lebih 5,000 pelajar telah mendaftar di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) sekali gus menunjukkan sambutan amat menggalakkan terhadap inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa akses pendidikan tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM260 juta bagi menampung yuran pengajian sehingga 10,000 pelajar di bawah program berkenaan.
Menurutnya, setakat ini separuh daripada kuota tersebut telah pun diisi hasil penyertaan pelajar dari seluruh Sarawak.
“Jadi anak kita yang masih sekolah itu, gunakanlah masa yang ada sebelum jadi tua, manakala kos tidak menjadi masalah kerana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membayar yuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Pusat Sukan Riveria, Debak, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelajar yang mendaftar adalah daripada empat universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS melibatkan 68 program pengajian.
Katanya, program berkenaan merangkumi bidang sains serta turut meliputi kursus psikologi, perakaunan, kewangan, undang-undang dan perubatan.
Abang Johari turut menegaskan kerajaan Sarawak terus memberikan perhatian kepada pembangunan bidang perubatan dengan menyalurkan biasiswa kepada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
“Kita kekurangan doktor di sini sebanyak 4,000 orang, maka kita terpaksa mengisi kekurangan itu.
“Jadi kita akan tambah biasiswa kita kepada Unimas kerana mereka mempunyai Fakulti Perubatan tersendiri,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta dif kenamaan lain.