
PUTRAJAYA: Bakal jemaah haji dalam kalangan warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan supaya mengutamakan kesabaran dan integriti ketika menunaikan ibadah. kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata cabaran dalam menunaikan ibadah haji kekal sama walaupun peredaran zaman berubah, sekali gus menuntut tahap kesabaran yang tinggi dalam kalangan jemaah.
“Saya berharap semua bakal jemaah haji dapat menunaikan rukun Islam kelima ini dengan sebaiknya dan dikurniakan haji yang mabrur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SPRM selepas majlis meraikan enam warga kerja SPRM yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M.
Warga SPRM yang terpilih ialah Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Datuk Rasidah Abdul Karim; Penolong Kanan Penguasa SPRM Perak (Cawangan Taiping) Mohammad Faiz Azmi; Penolong Kanan Penguasa SPRM Pulau Pinang Muhammad Faizal Ismail; Penolong Kanan Pesuruhjaya Ahmad Faiz Hasan; Penolong Pesuruhjaya Haryazi Baharom dari Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat serta Hajar Hashim dari Bahagian Khidmat Pengurusan.
Pada majlis anjuran Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) itu, Azam turut menyampaikan sumbangan dan cenderahati kepada bakal jemaah haji berkenaan sebagai tanda penghargaan dan sokongan.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen SPRM dalam menjaga kebajikan warga kerjanya, di samping memperkukuh nilai spiritual serta integriti dalam kalangan pegawai.
Media melaporkan, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas ke Tanah Suci dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi esok. – Bernama