Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Syazwani dan rakan-rakan berbaju raya tawan puncak Gunung Santubong
  • INSPIRASI

Syazwani dan rakan-rakan berbaju raya tawan puncak Gunung Santubong

Utusan Sarawak 9 hours ago
RAKAMAN gambar kenangan Syazwani bersama rakan-rakan berbaju raya menyambut Aidilfitri di puncak gunung Santubong.

KUCHING: Di saat kebanyakan orang meraikan Aidilfitri dengan kunjungan rumah ke rumah, seorang belia wanita memilih untuk membawa semangat raya ke tempat yang tidak dijangka, puncak gunung Santubong.

Bagi Syazwani Aqmar, 25, pengalaman mendaki sambil mengenakan baju raya bukan sekadar sesuatu yang luar biasa, tetapi lahir daripada rasa rindu terhadap aktiviti yang ditinggalkan sepanjang Ramadan.

“Dah lebih sebulan saya tak melakukan aktiviti pendakian sebab puasa. Bila masuk raya, rasa nak mula mendaki semula tapi dengan cara lain sikit. Lagipun di Sarawak, raya kan sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Syazwani bersama rakan-rakan yang berkongsi minat sama, mereka sepakat menjadikan pendakian ke puncak sebagai simbolik ‘rumah terbuka’ versi mereka, bukan di ruang tamu, tetapi di laluan mencabar menuju ke atas.

Sepanjang perjalanan, suasana ceria jelas terasa apabila mereka saling memberi semangat, malah sempat berseloroh seolah-olah sedang menuju ke destinasi kunjungan hari raya.

“Semua cakap sikit lagi nak sampai rumah terbuka. Memang rasa lain, tapi seronok,” luahnya.

Kelibat mereka berbaju raya di tengah trek hutan bukan sahaja mencuri perhatian, malah mengundang reaksi spontan daripada pendaki lain.

SYAZWANI Aqmar berbaju raya menyambut Aidilfitri di puncak gunung Santubong.

“Ada yang kagum, ada yang tegur dan ucap Selamat Hari Raya. Rasa macam raya tu kita bawa sekali naik gunung,” tambahnya.

Namun, di sebalik keunikan itu, terselit cabaran yang tidak boleh dipandang ringan. 

“Mendaki Gunung Santubong dengan pakaian tradisional, terutama berkain, memerlukan lebih berhati-hati, khususnya di bahagian tangga besi yang terkenal mencabar.

“Saya kena selempangkan kain untuk keselamatan. Memang bukan sesuatu yang mudah, dan tak digalakkan untuk yang belum biasa,” jelasnya.

Apa yang lebih bermakna bagi Syazwani bukan sekadar sampai ke puncak, tetapi perasaan yang hadir sepanjang perjalanan seperti gabungan ketenangan, kegembiraan dan kepuasan melakukan sesuatu yang dekat di hati.

“Rasa tenang dan seronok sebab dapat menggayakan pakaian raya sambil buat benda yang saya suka,” katanya.

SYAZWANI bersama rakannya berbaju raya menghadapi perjalanan yang mencabar menuju ke puncak gunung Santubong.

Menariknya, baju raya yang dipakai tetap dalam keadaan baik, seolah-olah membuktikan bahawa pengalaman unik itu tidak menjejaskan kemeriahan raya yang masih berlanjutan.

Bagi Syazwani, pengalaman tersebut bukan sekadar kenangan sekali lalu. Malah, beliau berhasrat menjadikannya tradisi setiap kali Aidilfitri menjelma.

“Kalau boleh, nak buat setiap tahun. Raya sebulan, jadi banyak cara boleh raikan.

“Kalau ada pandangan orang yang mungkin menganggap tindakan kami pelik, jawapan saya ringkas je, Sarawak kan raya sebulan,” ujarnya.

Kisah Syazwani memperlihatkan bagaimana tradisi raya sebulan di Sarawak bukan sahaja diraikan melalui juadah dan kunjungan, tetapi juga melalui pengalaman yang lebih peribadi dan bermakna yang menggabungkan budaya, alam dan gaya hidup sihat dalam satu perjalanan yang tidak mudah dilupakan.

Oleh Masrin Affirah

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Hobi gunting rambut ubah sumber rezeki Nathaniel

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.