
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana di kaunter berkaitan indeks utama memberi impak kepada dagangan awal, walaupun Wall Street mencatatkan kenaikan semalaman.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.25 mata atau 0.19 peratus kepada 1,686.46 daripada 1,689.71 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.64 mata kepada 1,689.07.
Pasaran secara menyeluruh positif dengan 188 kaunter untung mengatasi 171 kaunter rugi manakala 323 kaunter tidak berubah, 2,050 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 254.02 juta saham bernilai RM204.25 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi didorong oleh optimisme terhadap potensi penyelesaian di Asia Barat susulan gencatan senjata selama 10 hari.
“Namun demikian, harga minyak mentah meningkat dengan minyak mentah Brent hampir kepada paras AS$100 setong sekali lagi.
“Di Asia, sentimen adalah lebih baik berikutan ketegangan yang mereda di Asia Barat, dengan potensi rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran meningkatkan kebanyakan pasaran serantau,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Beliau berkata dijangka wujud minat belian, dengan indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,685 hingga 1,700 selepas FBM KLCI ditutup hampir kepada paras 1,690 pada Khamis.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.67, CIMB meningkat dua sen kepada RM7.47, Tenaga Nasional menurun lapan sen kepada RM14.14, IHH Healthcare berkurangan tiga sen kepada RM8.67 manakala Maybank tidak berubah pada RM11.06.
Dalam senarai paling aktif, Empire Premium Food yang mula disenaraikan di Pasaran Utama meningkat 32 sen kepada RM1.02, Toyo Ventures naik tiga sen kepada 26.5 sen, Zetrix AI menurun dua sen kepada 80.5 sen, Golden Destinations merosot 2.5 sen kepada 37.5 sen manakala Velesto Energy mendatar pada 34 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Hong Leong Financial Group meningkat 30 sen kepada RM19.00, Fraser & Neave naik 28 sen kepada RM30.96, Nestle menambah 12 sen kepada RM99.14, ITMax System menokok 10 sen kepada RM4.99 dan Infomina meningkat tujuh sen kepada RM1.22.
Kaunter paling rugi termasuklah Malaysian Pacific Industries, merosot 36 sen kepada RM33.62, Dutch Lady Milk Industries menurun 20 sen kepada RM32.00, Petronas Gas dan Petronas Dagangan, masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM17.94 dan RM20.74 serta MISC menyusut lapan sen kepada RM8.05.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menurun 22.01 mata kepada 12,284.81, Indeks FBM Emas merosot 19.65 mata kepada 12,451.97, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 24.51 mata kepada 17,617.16, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 32.73 mata kepada 12,374.11 manakala Indeks FBM ACE meningkat 16.78 mata kepada 4,563.06.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 7.63 mata kepada 8,892.04 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.20 mata kepada 19,751.06. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.55 mata kepada 187.55 manakala Indeks Tenaga naik 1.58 mata kepada 818.80.- Bernama