
VIENNA, Austria: Bekas penjaga gol Arsenal, Alexander Manninger, yang pernah bermain untuk Austria pada Euro 2008, meninggal dunia semalam selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kereta api, kata bekas kelabnya Red Bull Salzburg.
Lelaki berusia 48 tahun itu meninggal dunia apabila sebuah kereta api merempuh kenderaannya ketika melintasi landasan di wilayah Salzburg, menurut agensi berita Austria, APA.
“Kami meratapi pemergian bekas penjaga gol kami, Alexander Manninger, yang telah terkorban secara tragis dalam kemalangan jalan raya,” demikian menurut kenyataan Red Bull Salzburg di laman Facebook mereka.
“Fikiran kami bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakannya. Semoga beliau tenang di sana, Alexander.”
Persatuan Bola Sepak Austria dan Arsenal turut menyampaikan ucapan takziah.
“Dengan pemergiannya, dunia bola sepak kehilangan seorang insan yang amat istimewa,” kata Persatuan Bola Sepak Austria di platform X.
“Seluruh warga Arsenal terkejut dan amat berdukacita atas pemergian tragik bekas penjaga gol, Alex Manninger,” menurut kenyataan Arsenal di platform X.
Punca kemalangan tersebut, yang tidak melibatkan kecederaan kepada individu lain, masih dalam siasatan pihak polis.
Manninger membuat 64 penampilan bersama Arsenal antara 1997 hingga 2002 serta memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Beliau menghabiskan sebahagian besar kariernya di Arsenal sebagai penjaga gol simpanan kepada David Seaman.
Walau bagaimanapun, Manninger memainkan peranan penting apabila penjaga gol England itu mengalami kecederaan, sekali gus membantu kelab London Utara tersebut melengkapkan kejayaan ‘double’ Liga Perdana Inggeris dan Piala FA pada musim 1997/98 — musim penuh pertama Arsène Wenger sebagai pengurus Arsenal.
“Beliau beraksi dengan sangat cemerlang,” kata Seaman kepada agensi berita Press Association Britain.
“Beliau masih muda ketika menembusi pasukan utama. Pada usia 20 tahun untuk bermain bersama Arsenal seperti yang dilakukannya adalah sesuatu yang luar biasa.
“Peminat amat menyukainya. Malah, saya akui saya hampir tidak dapat kembali ke dalam pasukan. Beliau merupakan pemain yang sangat penting untuk Arsenal.”
Manninger juga memperoleh 33 kaps antarabangsa bersama Austria dan mewakili negaranya di tanah air sendiri semasa Euro 2008.
Beliau memulakan kerjayanya dengan kelab kampung halamannya, Red Bull Salzburg, dan selain Arsenal, beliau turut bermain untuk beberapa kelab di seluruh Eropah termasuk tiga kelab Itali iaitu Siena, Juventus dan Udinese, serta kelab Jerman, Augsburg.
Pada usia 39 tahun, Manninger menandatangani kontrak jangka pendek dengan Liverpool pada 2016, namun tidak pernah membuat penampilan dalam pasukan utama kelab gergasi England tersebut. – AFP