
KUCHING: Rebat tambang penerbangan sebanyak RM50 bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur sempena musim perayaan Gawai dan Kaamatan disifatkan sebagai langkah jangka pendek yang hanya memberi sedikit kelegaan, kata Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Eric Tay.
Beliau berkata harga tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak atau Sabah, sama ada melalui AirAsia atau Malaysia Airlines, lazimnya mencecah antara RM700 hingga RM1,000 atau lebih tinggi ketika musim perayaan.
“Dalam keadaan ini, rebat RM50 hanya merangkumi kira-kira 10 peratus daripada jumlah tambang, sekali gus memberi manfaat yang terhad,” katanya.
Menurutnya, isu tambang tinggi yang berterusan merupakan masalah struktur dan bukan sekadar turun naik harga sementara, justeru rebat tersebut tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian jangka panjang.
Eric turut mempersoalkan pelaksanaan skim berkenaan yang dilaporkan terhad kepada kira-kira 100,000 tiket.
“Adakah ini bermaksud tidak semua rakyat Malaysia yang layak akan mendapat manfaat? Adakah ia berdasarkan siapa cepat dia dapat? Jika ya, mereka yang benar-benar perlu pulang tetapi tidak sempat mendapatkan tiket lebih awal akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata walaupun polisi itu meliputi perjalanan dua hala antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, kuota terhad boleh menyebabkan sebahagian pengguna hanya menikmati rebat bagi perjalanan sehala.
“Rakyat Malaysia Timur bukan sahaja pulang untuk beraya, tetapi juga perlu kembali ke Semenanjung untuk bekerja. Jika rebat tidak meliputi kedua-dua perjalanan, kesannya amat terhad,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam sektor penerbangan termasuk meningkatkan kekerapan penerbangan, memperkenalkan kawalan tambang sementara pada musim puncak serta meneliti dasar subsidi perjalanan jangka panjang yang lebih mampan untuk rakyat Malaysia Timur.
Menurutnya, isu tambang tinggi telah lama membebankan penduduk Sarawak dan Sabah, selain menyentuh aspek keadilan wilayah serta integrasi nasional
“Walaupun inisiatif seperti ini dialu-alukan, adalah lebih penting untuk kerajaan menangani punca sebenar dan melaksanakan dasar yang lebih menyeluruh serta mampan,” katanya.
Oleh Connie Chieng