
KUCHING: Dua unit pertama kenderaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) kini sedia untuk dihantar ke Kuching selepas berjaya menamatkan ujian yang ditetapkan di China, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Kenderaan yang dikenali sebagai ‘tren emas’ itu dijangka tiba di Kuching pada suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa bersama pasukan teknikalnya sebelum ini berada di bandar Yibin, China bagi menjalankan pemeriksaan akhir di fasiliti pengeluar kenderaan berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan keseluruhan, kualiti kerja serta pematuhan terhadap spesifikasi projek sebelum penghantaran dibuat.

“Kami teruja untuk menyambut ketibaan ‘tren emas’ ini di Kuching tidak lama lagi dan menantikan pelaksanaan operasi perintis pada tahun ini, sekali gus menghampiri sasaran menyediakan sistem pengangkutan awam moden, cekap dan mesra alam untuk rakyat Sarawak.
“Sarawak Metro kekal komited dalam melaksanakan projek KUTS secara selamat, cekap dan mampan serta menghargai sokongan berterusan orang ramai sepanjang pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Setibanya di Sarawak, kenderaan tersebut akan menjalani kerja pemasangan semula sambungan gerabak di Fasiliti Pemasangan ART Kuching.
Ujian seterusnya akan dilaksanakan di depot ART di Rembus, Kota Samarahan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sepenuhnya sebelum operasi perintis yang dijadual bermula pada suku keempat tahun ini.
Turut hadir semasa lawatan ke fasiliti pembuatan di Yibin ialah Pengurus Besar Hunan CRRC Intelligent Transport Technology Co. Ltd, Peng Zhonghong serta Pengarah EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd, Chan Chee Kian.