
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan pengurangan sementara sebanyak 50 peratus kadar royalti dan caj berkanun terpilih bagi kayu balak hutan semula jadi daripada semua Lesen Kayu Balak Hutan dan Lesen Hutan Tanaman, kecuali Tarif Industri Kayu H0272502.
Menurut Jabatan Perhutanan Sarawak, langkah itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan kerja-kerja kemas kini sistem sebelum berkuat kuasa selama satu tahun tertakluk kepada semakan semula.
“Pengurangan sementara itu dilaksanakan bagi menyokong industri perhutanan dan kayu balak negeri susulan peningkatan kos bahan api, ketidaktentuan pasaran global, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos operasi.
“Langkah berkenaan turut bertujuan memberi kelegaan kos segera kepada industri, meningkatkan daya maju operasi, menstabilkan margin keuntungan serta memperkukuh pemprosesan kayu tempatan dan memastikan kestabilan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, trend semasa menunjukkan peningkatan pengeluaran berorientasikan eksport berikutan margin lebih tinggi, sekali gus menyebabkan penurunan aktiviti pemprosesan tempatan.
“Pengurangan ini dijangka dapat mengimbangi semula sektor berkenaan dengan meningkatkan daya saing pemprosesan tempatan serta memperkukuh rantaian nilai industri kayu,” jelasnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu mencerminkan pendekatan pragmatik dan responsif dalam menangani cabaran ekonomi semasa, di samping memastikan sektor perhutanan kekal berdaya tahan, berdaya saing dan mampan untuk masa depan Sarawak.
Pengeluaran turut dijangka stabil pada sekitar 1.73 juta meter padu setahun, mencerminkan keyakinan industri yang semakin pulih.
Dalam pada itu, Sarawak kekal komited terhadap pemulihan dan kelestarian hutan melalui Kempen Penghijauan Sarawak dan Pemulihan Landskap Hutan.
Sejak 2021 hingga 2025, lebih 57 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri, menjadikannya pencapaian penanaman tertinggi di Malaysia.
Sarawak turut mempergiat pembangunan hutan tanaman berskala besar serta pendekatan penukaran sisa kepada tenaga bagi menyokong ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.