Ketulan kristal disyaki syabu ditemui, lelaki ditahan polis di Jalan Kelupu

Facebook
WhatsApp
SUSPEK ditahan bersama bahan disyaki dadah jenis syabu semasa serbuan pada petang semalam. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun selepas menemui ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dalam satu serbuan di kaki lima sebuah rumah tidak bernombor di Batu 1, Jalan Kelupu, kira-kira 5.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata serbuan yang dijalankan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah IPD Meradong tersebut berjaya menemui bahan disyaki dadah dalam simpanan suspek.

“Hasil pemeriksaan pihak polis telah menjumpai satu keratan tiub straw warna merah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) di dalam satu beg sling di atas meja tempat suspek ditahan.

“Seterusnya suspek dibawa balik ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND Meradong),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau bersabit jenayah dadah.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tegasnya, pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti tersebut,” katanya.

Tansli menyeru orang ramai di Daerah Meradong menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah bagi membantu pihaknya membanteras jenayah tersebut dengan menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222. 

Oleh Earl Anek

Lelaki didenda miliki minuman keras

MIRI:  Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Miri hari