Semeru meletus dua kali, aliran piroklastik menjangkau tiga kilometer

Facebook
WhatsApp

JAKARTA: Gunung Semeru di Indonesia, yang terletak di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang di Jawa Timur, meletus dua kali pada pagi Selasa, mengeluarkan aliran piroklastik sejauh tiga kilometer (km) dari puncaknya.

Menurut pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru Sigit Rian Alfian, letusan pertama berlaku pada 5.22 pagi waktu tempatan, menghasilkan tiang abu mencecah kira-kira 1,500 meter (m) di atas puncak atau 5,176m dari paras laut.

Beliau berkata tiang abu berwarna kelabu dan tebal, melayang ke arah barat, manakala rakaman seismik menunjukkan amplitud maksimum 20 milimeter dalam tempoh tiga minit 23 saat.

Letusan itu disertai dengan aliran piroklastik yang bergerak sejauh tiga km ke tenggara,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA, pada Selasa.

Sigit berkata puncak tertinggi di Pulau Jawa itu meletus semula pada 6.03 pagi dengan tiang abu menjulang kira-kira 1,000m di atas puncak, terapung ke arah barat daya.

Beliau berkata gunung berapi itu kekal pada Tahap Amaran III dan penduduk dilarang melakukan sebarang aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam radius13 km dari pusat letusan.

Tambahnya, masyarakat di luar zon larangan dinasihatkan mengelak kawasan dalam lingkungan 500m dari tebing sungai di sepanjang Besuk Kobokan kerana risiko aliran piroklastik dan lahar menjangkau hingga 17km dari puncak. – Bernama

Gerhana matahari penuh memukau di Eropah

BURGOS, Sepanyol: Jutaan penduduk Eropah dijangka menatap langit dengan penuh kagum apabila fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku merentasi

15 maut bot karam di Zimbabwe

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 15 maut selepas sebuah bot yang membawa lebih 160 penumpang karam di Tasik Kariba, Zimbabwe pada Selasa, menurut