



SONGKHLA: Setelah beberapa bulan terkesan akibat banjir besar yang menenggelamkan premis perniagaan dan menjejaskan kehidupan penduduk, Hat Yai kini menunjukkan perkembangan positif apabila kehadiran pelancong sempena Songkran menggerakkan semula aktivitinya.
Disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April, Songkran menandakan Tahun Baharu tradisional Thai.
Sarat dengan kepentingan agama dan budaya, festival itu juga telah berkembang menjadi acara pelancongan utama yang menarik pengunjung dari seluruh dunia.
Tinjauan Bernama di pusat bandar Hat Yai mendapati suasana yang sebelum ini suram kini berubah menjadi meriah, dengan ribuan pelancong tempatan dan antarabangsa membanjiri jalan-jalan utama untuk menyertai perayaan air tahunan.
Percikan air, muzik dan gelak ketawa kini memenuhi bandaraya itu, sekali gus memperlihatkan perbezaan ketara berbanding keadaan pascabanjir yang sebelum ini melumpuhkan aktiviti harian.
Bagi peniaga kecil, sambutan itu memberi peluang untuk membina semula kehidupan mereka selepas melalui tempoh sukar seperti kerosakan harta benda dan perniagaan yang terjejas.
Seorang penjual makanan jalanan, Somchai Wongsawat, 45, berkata banjir sebelum ini menyebabkan kerugian besar apabila peralatan dan bekalan rosak, malah ada peniaga yang mengambil masa berminggu-minggu untuk beroperasi semula.
“Ketika banjir, kawasan ini lengang. Air masuk ke dalam kedai kami dan kami langsung tidak dapat berniaga,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan kini jauh lebih baik, dengan kebanjiran pelancong khususnya dari Malaysia membantu meningkatkan jualan harian.
“Perniagaan sangat baik sekarang. Ramai pelancong datang, termasuk dari Malaysia. Ini membantu kami pulih secara beransur-ansur,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Naree Chaiyaporn, 38, berkata sambutan Songkran tahun ini membawa harapan baharu untuk menampung semula kerugian yang dialami sebelum ini.
Walaupun pemulihan masih belum selesai sepenuhnya, dia berkata pertambahan pelanggan telah mengukuhkan keyakinan bahawa ekonomi tempatan akan kembali stabil dalam masa terdekat.
Golongan belia tempatan pula melihat Songkran sebagai lambang kebangkitan semula bandaraya itu selepas bencana berkenaan.
Seorang penuntut universiti, Anan Srisawat, 21, berkata sambutan tahun ini amat bermakna kerana ia menandakan kembalinya kehidupan seperti biasa selepas melalui tempoh yang sukar.
“Selepas banjir, ramai yang berasa sedih dan tertekan. Tetapi apabila Songkran tiba, semua orang keluar, meraikannya dan melupakan kesusahan mereka seketika,” katanya.
Selain peniaga kecil, pengusaha hotel dan penginapan turut merekodkan peningkatan tempahan berbanding tempoh selepas banjir.
Seorang pengusaha hotel tempatan, Chalida Kittisak, 48, berkata kadar tempahan meningkat dengan ketara sejak awal minggu ini, dengan kebanyakan bilik ditempah pelancong asing dan pengunjung dari Malaysia.
“Hotel kami penuh ditempah untuk beberapa hari sepanjang Songkran. Inilah yang kami harapkan selepas melalui tempoh yang begitu sukar,” katanya.
Bernama turut mendapati pemandu tuk-tuk dan penyedia perkhidmatan pengangkutan turut meraih manfaat daripada peningkatan permintaan selepas pertambahan ketibaan pelancong.
Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan mempertingkat langkah keselamatan dan kawalan lalu lintas bagi memastikan sambutan berjalan lancar dan selamat.
Langkah itu termasuk menempatkan anggota keselamatan di lokasi-lokasi utama serta menjalankan pemantauan berterusan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Secara keseluruhan, sambutan Songkran tahun ini bukan sahaja mencerminkan kemeriahan budaya Thai, malah melambangkan pemulihan Hat Yai sebagai destinasi pelancongan selepas bencana.
Laporan sebelum ini menyatakan hujan lebat berpanjangan menyebabkan banjir di lapan wilayah di selatan Thailand, menjejaskan hampir 360,000 penduduk di 48 daerah, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM).
Wilayah yang terjejas termasuk Phatthalung, Satun dan Songkhla merupakan antara destinasi utama yang sering dikunjungi pelancong Malaysia, khususnya pada musim cuti hujung tahun.
Hat Yai terletak kira-kira 26 kilometer ke barat daya Bandar Songkhla, yang merupakan pusat pentadbiran dan kebudayaan wilayah itu.- Bernama