
SARIKEI: Sebanyak 158 pintu rumah panjang di kawasan Selangan, Jalan Kwong Ming, Bulat dan Sungai Stok menerima projek pintu sempena lawatan mesra Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, beliau telah mengunjungi Rumah Ugil Rebai, Rumah Rampai Timbang, Rumah Gimang Jandan, Rumah Awan Chandang dan Rumah Entagau Kasi bagi mendekati penduduk dan meninjau keperluan setempat secara langsung.

Selain beramah mesra dengan komuniti rumah panjang, beliau turut meninjau perkembangan projek pembangunan infrastruktur di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan di kawasan tersebut.
“Lawatan seperti ini penting untuk saya mendengar pandangan rakyat serta melihat perkembangan projek yang dilaksanakan supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan luar bandar termasuk komuniti rumah panjang bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkat secara menyeluruh dan seimbang.

“Kita akan terus memantau pelaksanaan projek agar setiap peruntukan digunakan dengan berkesan dan tertakluk kepada golongan sasaran,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Ugil Rebai menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan kerajaan dalam membawa pembangunan ke kawasan rumah panjang di Sarikei.
“Penduduk amat berterima kasih atas pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Sarawak.
“Di bawah usaha Dato’ Sri Huang Tiong Sii dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, banyak peruntukan telah disalurkan untuk kawasan Sarikei,” katanya.
Tambahnya, pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan jaringan jalan raya di kawasan bandar dan luar bandar, malah turut memperkukuh kemudahan asas di rumah panjang demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kepimpinan Premier Sarawak amat prihatin dan berdedikasi dalam memastikan pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum,” katanya lagi.
Dalam lawatan sama, beberapa tuai rumah dari kawasan berhampiran turut hadir, antaranya Tuai Rumah Simon Tedong, Tuai Rumah Saka Angin, Tuai Rumah Awang Ujieh, Tuai Rumah Nanggai Jawan dan Tuai Rumah Federyson Ho.
Oleh Earl Anek