
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man meluangkan masa bertemu serta meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan straight A dalam satu pertemuan santai, baru-baru ini.
Menurut beliau, kejayaan yang diraih pelajar terbabit bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah hasil usaha gigih, disiplin tinggi serta pengorbanan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“Pencapaian cemerlang dalam SPM bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan komitmen, ketekunan dan semangat untuk berjaya. Saya amat berbangga dengan usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kecil sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pelajar dalam membuat persediaan ke peringkat seterusnya.
Antara pelajar yang diraikan ialah Melissa Matteus, 18, yang berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu bercita-cita menjadi doktor dan kini sedang memohon untuk melanjutkan pengajian ke program matrikulasi di Labuan.
Selain itu, Johannese Philip Johapri Datu, 18, turut mencatat keputusan cemerlang dengan 8A. Beliau yang aktif dalam kokurikulum bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.
Mengulas lanjut, Chiew berkata kejayaan pelajar berkenaan turut mencerminkan sokongan keluarga serta keazaman tinggi dalam mengimbangi akademik dan aktiviti lain.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan para pelajar agar terus mengekalkan sahsiah diri yang baik selain cemerlang dalam akademik.
“Selain pencapaian akademik, pelajar juga perlu memiliki sikap rendah diri, menghormati orang lain serta sentiasa berusaha memperbaiki diri agar dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai pelajar Miri terus melakar kejayaan dan menjadi pemangkin pembangunan masa depan negara.
Oleh Liong Chai Ling