BUCHAREST: Sepuluh pesakit Covid-19 maut, manakala yang lain berada dalam keadaan kritikal selepas sebuah unit rawatan rapi (ICU) di timur laut Romania terbakar, semalam, kata jurucakap hospital terbabit.
Api menjilat ICU di hospital terletak di bandar Piatra Neamt pada awal petang itu berjaya dikawal dalam tempoh sejam oleh pasukan perkhidmatan kecemasan.
“Sepuluh mangsa disahkan terkorban dan tujuh lagi dalam keadaan kritikal, termasuk seorang doktor,” kata jurucakap hospital itu, Irina Popa.
Lapan mangsa terbabit mati dalam kebakaran, manakala dua disahkan meninggal dunia selepas diselamatkan.
Pasukan perkhidmatan kecemasan pula memaklumkan, doktor bertugas yang cuba menyelamatkan mangsa turut melecur hingga 80 peratus daripada badannya.
Punca kejadian masih belum jelas dan pendakwa raya sudah membuka siasatan berhubung tragedi itu.
Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan insiden berkenaan tercetus akibat litar pintas.
Susulan itu, pihak berkuasa tempatan membuka sebuah pusat krisis, manakala Menteri Kesihatan, Nelu Tataru, dijangka melawat lokasi kejadian.
Romania yang mengalami peningkatan kes Covid-19 dan kemasukan pesakit ke hospital, melaporkan 129 kematian baharu akibat wabak itu, semalam, menjadikan jumlahnya kini mencecah 8,813 korban.
Negara berpenduduk 19 juta penduduk ini adalah antara anggota termiskin dalam Kesatuan Eropah, dan tidak memiliki kelengkapan kesihatan diperlukan untuk menangani lonjakan bilangan pesakit di hospital.
Sistem kesihatannya sudah lama dan berdepan masalah kekurangan doktor yang kritikal, terutama di bandar kecil.
Kejadian semalam adalah kebakaran maut paling teruk di Romania sejak Oktober 2015. – AFP