
BEIJING: Seorang wanita warga emas berusia 89 tahun mencetuskan perhatian ramai selepas bertindak memanjat turun dari tingkat 27 ke tingkat 21 di bahagian luar sebuah bangunan kediaman akibat terperangkap dalam bilik tidurnya.
Dalam kejadian pada petang 1 April itu, wanita tersebut dilihat berada di luar tingkat 26 bangunan berkenaan sambil berpaut pada jeriji besi yang melindungi unit penghawa dingin.
Seorang pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang terdengar suara lemah mangsa segera menghubungi polis serta menasihatinya supaya menunggu bantuan. Namun, wanita itu terus memanjat turun.
Mangsa yang keletihan akhirnya berhenti di tingkat 21, kira-kira 50 meter dari aras tanah.

Pasukan bomba yang tiba kemudian menjalankan operasi menyelamat dari dalam bangunan kerana keadaan tidak selamat untuk memanjat di bahagian luar. Mereka memasang tali keselamatan, memotong sebahagian jeriji dan membantu mangsa berehat di platform penghawa dingin, selain memberinya air dan jaket.
Siasatan mendapati wanita itu tinggal bersendirian di tingkat 27 dan secara tidak sengaja mengunci dirinya di dalam bilik tidur, manakala telefon bimbit ditinggalkan di ruang tamu.
Dalam keadaan panik, beliau mengambil keputusan berbahaya untuk memanjat turun melalui jeriji tersebut dan bercadang turun sehingga ke tingkat bawah.
Selepas berehat kira-kira 20 minit, anggota bomba menggunakan pengusung untuk membentuk laluan dari platform ke tingkap sebuah unit di tingkat 21 sebelum membawa mangsa masuk dengan selamat.
Wanita itu tidak mengalami kecederaan serius, hanya keletihan dan trauma. Kisah keberaniannya menjadi tular di media sosial dengan lebih empat juta tontonan, selain menerima pelbagai reaksi netizen yang memuji kekuatan fizikal dan semangatnya, malah menggelarnya “nenek super”. – AGENSI