
MATU: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Simfoni Budaya Sebati: Sinaran Aidilfitri & Kilauan Gong Xi anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian, semalam, diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie.
Dalam ucapannya, beliau berkata majlis tersebut menjadi wadah penting dalam mengeratkan silaturahim antara warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar yang memberikan sokongan penuh dengan menyediakan pelbagai juadah raya di setiap meja, sekali gus memeriahkan suasana.

Pada majlis itu, Ahmad Johnie turut meluangkan masa melawat setiap gerai bagi menyantuni warga sekolah serta para pengunjung yang hadir.
Beliau juga berkesempatan melawat bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah dan menegaskan bahawa kemudahan serta keperluan pendidikan khas perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan serta pembangunan murid berkeperluan khas sentiasa terpelihara.
Oleh Akun Giman