
MANILA: Bekalan minyak domestik Filipina mencukupi untuk sekitar 50 hari, dengan stok penimbal tambahan dijangka tiba bulan ini di bawah program perolehan kerajaan, kata pegawai Jabatan Tenaga (DOE) Selasa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Semasa taklimat dalam talian, Timbalan Setiausaha DOE Sandy Sales berkata, sekitar 900,000 tong dijadualkan untuk penghantaran pada April, dengan penghantaran pertama dijangka minggu ini.
Beliau berkata, 300,000 tong awal akan tiba pada 10 April dari Malaysia melalui Singapura, diperoleh menerusi firma komoditi global Vitol.
Dua lagi penghantaran sebanyak 300,000 tong setiap satu dijangka lewat bulan ini, dikontrak melalui Vitol dan Trafigura dan diperoleh dari Asia Utara dan India.
“Ini kerana kargo belum disiapkan, walaupun kontrak sudah dimeterai,” kata Sales.
Setiausaha Tenaga Sharon Garin sebelum ini berkata, minyak tambahan itu diperoleh di bawah Program Keselamatan Tenaga Kecemasan melalui Perbadanan Eksplorasi Syarikat Minyak Nasional Filipina.
Dalam taklimat yang sama, Garin berkata, negara mempunyai masa yang mencukupi untuk mendapatkan stok penimbal tambahan selain bekalan sedia ada daripada firma minyak swasta.
“Jadi, kami berada dalam tahap yang baik dari segi pembekalan. Kami telah bertemu hari ini dengan pengedar bon kami. Sistem bekalan yang agak normal (sistem telah pulih) terutamanya di stesen minyak persendirian dan kawasan yang jauh,” katanya. – Bernama