
JAKARTA: Tentera Laut Indonesia sedang menyiasat penemuan sebuah objek yang disyaki kapal selam tanpa pemandu (UUV) di selat utara Gili Trawangan, Kabupaten Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat (NTB).
Menurut Agensi Berita ANTARA, Ketua Perkhidmatan Maklumat Tentera Laut Indonesia, Laksamana Muda Tunggul berkata, pasukan pakar akan menjalankan penilaian teknikal terperinci terhadap aset terbabit bagi menentukan asal-usul, fungsi, serta sebarang data yang mungkin terkandung di dalamnya.
“Peranti kapal selam itu akan menjalani penilaian teknikal yang menyeluruh untuk mengenal pasti dari mana ia datang, kegunaannya dan sama ada ia mengandungi sebarang data yang boleh diperoleh semula,” katanya.
Tunggul berkata, kapal selam tanpa pemandu itu pada mulanya ditemukan oleh nelayan di selat utara Gili Trawangan, yang kemudian melaporkan penemuan berkenaan kepada anggota tentera laut berhampiran.
Objek berkenaan kemudiannya dibawa keluar dan diserahkan kepada Pos Tentera Laut Gili Air untuk siasatan lanjut.
Tunggul berkata, kawalan keselamatan telah dilaksanakan di sekitar objek itu bagi memastikan prosedur siasatan berjalan mengikut piawaian yang ditetapkan.
Beliau berkata, Tentera Laut kekal komited dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan maritim daripada sebarang aktiviti tanpa kebenaran, termasuk penggunaan peralatan dasar laut oleh pihak yang tidak dibenarkan di perairan Indonesia. – Bernama