
KUCHING: Konsert penghormatan sempena ulang tahun ke-31 penyanyi legenda Asia, Teresa Teng dijangka menerima sambutan luar biasa dengan kapasiti keseluruhan sekitar 3,000 penonton sepanjang dua hari penganjuran.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, konsert berkenaan merupakan platform penting bagi memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

“Sambutan terhadap konsert seumpama ini mencerminkan perkembangan industri hiburan di Sarawak serta peningkatan kuasa beli masyarakat, sekali gus menunjukkan negeri ini berpotensi sebagai pasaran bagi acara hiburan bertaraf antarabangsa.
“Penganjur turut membuka jualan kepada pasaran luar termasuk China, Indonesia, Brunei, Singapura dan Semenanjung Malaysia, namun saya berharap peminat tempatan masih berpeluang mendapatkan tiket,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Penganjuran Konsert Peringatan ke-31 sebagai Penghormatan kepada Teresa Teng 2026 di Sarawak Club, Jalan Taman Budaya, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, jelasnya, kementerian turut menyalurkan sokongan dalam bentuk geran atau subsidi bagi membantu mengurangkan beban penonton dan memastikan harga tiket kekal berpatutan.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 24 dan 25 Julai 2026 dari 7.30 malam hingga 10.00 malam itu menampilkan artis tribute yang diiktiraf oleh yayasan keluarga Teresa Teng.
Antara penghibur yang bakal tampil ialah Wang Tianyi, yang dikenali sebagai ‘Teresa Teng versi lelaki’, serta Hu Die yang terkenal dengan vokal lembut dan penuh emosi.
Mereka bakal mempersembahkan lagu-lagu klasik menerusi persembahan solo, duet serta susunan semula bagi menghidupkan kembali nostalgia peminat.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu RM488 (VIP A), RM388 (CAT 1), RM288 (CAT 2) dan RM188 (CAT 3), selain pakej berkumpulan untuk tiga orang.
Oleh Masrin Affirah