
MELBOURNE: Pihak berkuasa di Papua New Guinea (PNG) dan Kepulauan Solomon telah mengeluarkan amaran mengenai taufan Kategori Tiga yang dijangka membawa hujan lebat dan banjir, lapor Xinhua.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan PNG memaklumkan dalam amaran kecemasan untuk Wilayah Teluk Milne timur pada pagi Selasa, Siklon Tropika Maila akan membawa hujan yang sangat lebat, banjir, banjir pantai dan angin kencang.
Menurut agensi itu, penduduk di rantau berkenaan terutamanya penduduk pulau di Laut Solomon, perlu berpindah ke tempat lebih tinggi dan menjauhi pantai.
“Ambil langkah berjaga-jaga segera untuk melindungi nyawa dan harta benda,” menurut agensi itu.
Perkhidmatan Meteorologi Kepulauan Solomon pula memaklumkan Taufan Tropika Maila semakin kuat dan bergerak perlahan ke timur laut menuju kepulauan Wilayah Barat negara itu di Laut Solomon.
Pulau-pulau di Wilayah Barat telah diberi amaran untuk bersiap sedia menghadapi angin ribut kuat, banjir pantai dan hujan lebat yang meluas serta ribut petir.
Biro Meteorologi Australia turut mengisytiharkan sistem itu sebagai siklon tropika kuat dan menyatakan pada Selasa, taufan tersebut boleh melanda tanah besar Australia minggu ini. – Bernama-Xinhua