
MIRI: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian di Jambatan Lutong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.01 tengah malam itu, mangsa warga tempatan berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah,Asisten Komisioner (ACP)Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori yang membawa muatan tar dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, pemandu lori lelaki tempatan berusia 53 tahun dipercayai berhenti di atas jambatan sebelum kenderaan mangsa yang datang dari arah belakang melanggar bahagian belakang lori berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Insektor Nor Afifah Nordin di talian 019-5264640 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Liong Chai Ling