LONDON:
Perdana Menteri Britain Boris Johnson kembali bertugas semalam, selepas
menjalani rawatan selama tiga minggu untuk pulih daripada jangkitan Covid-19.
Johnson berada satu minggu di hospital dan dua minggu lagi di kediaman
rasminya.
Bagaimanapun, jurucakap negara enggan mendedahkan kedudukan Johnson ketika ini.
Memetik sumber kerajaan sebelum ini, Johnson tidak sabar untuk mula bekerja dan
akan bertemu Setiausaha Kesihatan Matt Hancock selain dijadual mempengerusikan
taklimat harian mengenai Covid-19 pada Isnin.
Sebaik memulakan tugasnya nanti,
Johnson dijangka bergelut dengan isu sama ada akan melonggarkan sekatan
memandangkan jangkitan dan kemasukan ke hospital menunjukkan penurunan.
Johnson disahkan dijangkiti Covid-19 pada akhir Mac dan dimasukkan ke Hospital
St Thomas pada 5 April, sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada
hari berikutnya.
UK pada Ahad mencatatkan 413
kematian baru. Angka berkenaan menjadikan kematian terkumpul sebanyak 20,732
orang.
Jumlah tersebut adalah kenaikan kematian harian terendah yang dilaporkan
Britain sejak 31 Mac.
Angka positif meningkat 4,000 kes kepada 152,000 orang.-Bernama