KUCHING: Parti tunjang pemerintahan Kerajaan Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam mengadakan mesyuarat prapersidangan untuk membincangkan beberapa perkara isu yang berkaitan di peringkat negeri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, terdapat tiga isu utama yang dibincangkan pada mesyuarat prapersidangan tersebut.
“Isu pertama yang dibincangkan adalah mengenai penularan Covid-19 yang sangat memberi kesan kepada masyarakat kita lebih-lebih lagi Daerah Kuching baru-baru ini diistiharkan sebagai zon Merah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah diumumkan.
“Penularan wabak pandemik Covid-19 dari kluster Green Hill dan Wisma Saberkas telah merebak ke daerah lain, oleh itu parti kita menyokong tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk membendung penularan Covid-19 ini,” katanya.
Abang Johari turut menambah berkata, perkara kedua yang dibincangkan adalah berkaitan dengan peruntukan bajet 2021 yang dibentangkan beberapa hari lepas.
“Terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah memberi peruntukan sebanyak RM4.5 bilion untuk infrastruktr dan banyak peruntukan yang lain yang harus kita halusi, yang mana peruntukan tersebut diberi di bawah beberapa kementerian umpamanya menyediakan perkhidmatan bank bergerak di kawasan luar bandar, insentif kepada mereka yang terjejas dengan Covid-19 dan ini sudah tentu beri kesan yang terbaik kepada negeri kita.
“Kalau diikutkan bajet ini ia sudah melebihi RM4.5 bilion jika dimasukkan lagi peruntukan yang diberikan kepada kementerian Pendidikan, kementerian dalam negeri dan ada pertambahan bagi kementerian kebajikan, kesejahteraan komuniti, wanita, keluarga dan pembangunan kanak-kanak,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Abang Johari turut berkata, bagi memperkasakan jentera parti PBB, ahli-ahli parti perlu mengetahui mengenai prosedur operasi standard (SOP) jika PRN diadakan.
“Jika PRN diadakan dalam keadaan Covid-19 ini sudah tentu banyak pendekatan dan SOP yang baharu yang perlu dinasihatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Setakat ini, kita belum menerima apa-apa maklumat dan kita percaya bahawa SPR masih dalam proses menyediakan SOP yang perlu sekiranya PRN diadakan, sudah tentu sekiranya sudah ada kata putus mereka (SPR) akan mengumumkan kepada semua ahli parti yang terlibat dengan PRN,” katanya.
Apabila ditanya mengenai penutupan sekolah di seluruh negara, Abang Johari berkata, keputusan telah dibuat dan rakyat perlu akur dengan penutupan semua sekolah itu.
“Kita perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat untuk menyelamatkan keadaan kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat,” katanya.
Oleh Jeakqleyn Yacho