DALAT: Penduduk di Kampung Tanam di sini masih menunggu wujudnya jalan raya menuju ke tanah perkuburan di kawasan yang sama..
Namun hasrat itu belum menjadi kenyataan kerana sehingga ke hari ini walaupun ada usaha ke arah itu kedengaran saban tahun.
Tanah perkuburan utama untuk penduduk bukan Islam di situ terletak di kawasan Sungai Tanam yang hanya boleh diakses melalui jalan air sahaja.
Setiap tahun permintaan itu akan disuarakan, lebih-lebih lagi pada Hari Memperingati Arwah (All Souls Day) pada 2 November lalu.
Kebetulan sambutan hari berkenaan berlaku pada musim hujan sehingga menyukarkan penduduk kampung untuk menziarahi pusara ahli keluarga yang bersemadi di tanah perkuburan berkenaan.
Namun situasi ini tidak menghalang sebahagian penduduk untuk berziarah dengan menaiki bot serta meredah hujan untuk ke kawasan perkuburan.
“Untuk menaiki bot semasa hujan memang tak selesa dan boleh membahayakan nyawa,” kata salah seorang penduduk yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Menurut penduduk tersebut, memandangkan pihak gereja menasihati orang ramai agar tidak menziarahi kubur beramai-ramai , maka mereka mengambil langkah berziarah walaupun ketika hari hujan,” katanya.
Antara yang lantang menyuarakan tentang pentingnya jalan raya tersebut ialah Ketua Kaum Frederick Isey Akie, Penghulu Rose J. Jepun, Cikgu Daniel Francis dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanam yang menyedari bahawa kesulitan itu telah wujud sejak sekian lama.
Adalah difahamkan selain daripada dana yang cukup besar diperlukan, ia juga memerlukan persetujuan para pemilik tanah yang mungkin terjejas dengan pembinaan jalan raya berkenaan.
Sudah tiba masanya untuk kampung kedua terbesar di Dalat ini untuk mempunyai kemudahan seperti ini memandangkan kebanyakan tanah perkuburan lain di kawasan tersebut sudah mempunyai jalan raya atau kemudahan asas berkenaan.
Jalan raya ini boleh memudahkan upacara pengkebumian dan kerja-kerja penyelenggaraan tanah perkuburan termasuk aktiviti menziarahi pusara.
Tanah perkuburan itu terletak kira-kira lima minit perjalanan menaiki perahu dari Chapel Plechelmus dengan menyusuri Batang Oya untuk ke Sungai Tanam.
Oleh Henry B Siyu